Melangkau ke kandungan ↓

Kehidupan Akademik

 

Saya menganggap bahawa tugas utama pendidikan adalah untuk memastikan kelangsungan sifat-sifat ini: rasa ingin tahu penuh daya usaha, semangat yang tak terkalahkan, ketabahan dalam menjalankan tugas, kesediaan untuk menahan diri dengan wajar, dan yang paling penting, belas kasihan."

Kurt Hahn, Pengasas  UWC 

UWC adalah satu organisasi pendidikan global yang mendidik lebih kurang sembilan ribu pelajar daripada 155 negara setiap tahun. Lebih kurang empat ribu pelajar daripada kumpulan pelajar tersebut menduduki Diploma “International Baccalaureate” (IBDP), satu program pra-universiti global yang terkenal di seantero dunia untuk pelajar berumur 16 hingga 19 tahun.  

Sememangnya kurikulum IBDP menjadi teras kepada kehidupan akademik di setiap kolej dan sekolah UWC, namun, pendidikan di UWC melangkaui kehendak yang ditetapkan oleh program IB. Dengan pelajar dan juga kakitangan yang berbilang bangsa di setiap kolej dan sekolah UWC - di mana ahli-ahlinya datang dari pelbagai negara dan latar belakang pendidikan, sosioekonomi, budaya, bahasa dan politik - UWC mengakui kurikulum pendidikan haruslah membolehkan sebanyak mungkin tafsiran dan tanggapan sebanyak mana para pelajar yang menduduki program ini, supaya pelajar berasa bahawa mereka dapat mewakili sejarah mereka serta sudut pandangan mereka dengan aslinya. Oleh itu, kurikulum rasmi IB dilengkapkan dengan sesi-sesi yang membincangkan isu-isu antarabangsa dan aktiviti-aktiviti lain yang boleh menjana pemikiran yang kritis serta penyertaan yang berani dalam kalangan pelajar bagi menangani cabaran-cabaran yang dihadapi dalam dunia sekarang.

International Baccalaureate (IB)

Organisasi IB (IBO) telah ditubuhkan pada tahun 1968. Sejak awal penubuhannya, IBO berpandukan kepada maklum balas dan kerjasama daripada UWC berikutan pengalaman UWC dalam memberikan pendidikan yang progresif dan bersilang budaya serta penumpuan terhadap pembelajaran melalui pengalaman. Hubungan antara kedua-dua organisasi ini kekal rapat hingga sekarang.

Selepas enam tahun merintis program IB di merata sekolah termasuk UWC Atlantic College  di Wales, akhirnya IBDP telah diasaskan secara rasminya pada tahun 1975. Program-program untuk peringkat rendah, menengah dan program yang menumpukan ke arah kerjaya telah dibentuk pada dua dekad yang lepas. Kesemua program IB berazam untuk “menggalakkan pelajar-pelajar di seluruh dunia untuk menjadi aktif, saling mengasihani dan menjadi penuntut sepanjang hayat yang memahami bahawa orang yang mempunyai pegangan yang berlainan dengannya boleh juga menjadi benar”.

Program yang pelbagai ini menjadi semakin terkenal oleh sebab reputasi organisasi ini sebagai “gold standard” dalam pendidikan antarabangsa, terutamanya dalam IBDP. Sekarang, terdapat lima ribu sekolah yang mengajar 1.3 juta pelajar di serata dunia.

Apakah matapelajaran yang boleh diambil dalam IBDP?

Pelajar Diploma IB boleh memilih satu jurusan daripada setiap satu daripada enam kumpulan matapelajaran berikut:

  1. Pengajian dalam Bahasa dan Kesusasteraan

  2. Pengajian Bahasa Lain

  3. Individu dan Kemasyarakatan

  4. Sains

  5. Matematik

  6. Seni (sekiranya tidak berminat dalam bidang seni, pelajar boleh memilih untuk mempelajari satu subjek lain sama ada daripada kumpulan sains, individu dan kemasyarakatan ataupun pengajian bahasa lain)

Secara umumnya, pelajar akan mempelajari tiga matapelajaran di peringkat rendah dan tiga matapelajaran di peringkat tinggi, di mana mereka perlu menunjukkan pengetahuan, pemahaman dan kemahiran yang lebih mendalam. Matapelajaran yang ditawarkan adalah berbeza di antara sekolah-sekolah dan kolej-kolej UWC disebabkan perbezaan kedudukan geografi dan fokus mereka.

Selain daripada keenam-enam matapelajaran yang diambil, pelajar-pelajar juga harus melengkapkan tiga teras utama program IB Diploma yang manjadi asas kepada falsafah program ini. Berikut adalah ketiga-tiga teras program ini:

  1. Esei Lanjutan (EE): Pelajar akan menjalankan kajian dalam satu tajuk yang diminati, mengasah kemahiran menjalankan kajian secara individu dan kemahiran menulis esei yang diperlukan di peringkat universiti. Esei ini selalunya ditulis dalam salah satu matapelajaran yang diambil daripada enam kumpulan matapelajaran yang dipilih oleh pelajar dan haruslah tidak melebihi 4000 patah perkataan. Pelajar akan dibantu oleh seorang penyelia akademik dalam menjalankan kajian dan menulis esei.

  2. Teori Ilmu Pengetahuan (TOK): Kursus ini menggalakkan para pelajar untuk berfikir tentang sifat ilmu pengetahuan, tentang bagaimana kita mengetahui apa yang kita dakwa kita tahu. Kursus ini ditaksir melalui pembentangan lisan dan esei yang panjangnya 1600 patah perkataan.

  3. Creativiti, Action, Service (CAS): Pengajaran tentang nilai tanggungjawab, peningkatan kemahiran sosial dan kreativiti, kemahiran dalam aktiviti luar serta kesedaran untuk mendekati orang lain dengan penuh empati adalah asas utama program ini. Pelajar akan mengambil bahagian dalam pelbagai jenis projek yang menumpukan ke arah meningkatkan kemahiran-kemahiran tesebut,  serta pada masa yang sama melibatkan diri secara langsung dengan masyarakat setempat.

Gabungan kesemua elemen ini membolehkan pelajar mengembangkan keupayaan mereka untuk menganalisa dan menilai maklumat, melontarkan idea dengan berkesan, dan mengembangkan hujah-hujah yang meyakinkan, di mana kesemuanya akan menyediakan mereka untuk pengajian di peringkat yang seterusnya. Malah, pelajar akan berupaya untuk meletakkan pengetahuan dan kefahaman mereka tentang budaya ke dalam pengajian akademik mereka, agar mereka dapat menyedari bahawa mereka adalah seorang pemikir dan sentiasa mengeratkan hubungan dengan orang lain.

Tahun-tahun Awal

Sekolah-sekolah UWC, berbeza dengan kolej-kolej UWC, juga mengambil pelajar-pelajar yang berumur dari 18 bulan hingga 15 tahun. Kesemua UWC ini, UWC Maastricht, UWC South East Asia, UWC Thailand, dan UWC Waterford Kamhlaba di Afrika Selatan mempunyai pelajar-pelajar muda di kampus mereka di mana mereka diajar menggunakan beberapa jenis kurikulum.

Sebagaimana pelajar IBDP, kami mempercayai bahawa ianya amat penting untuk mempersiapkan pelajar tadika, sekolah rendah dan menengah kami melalui pendidikan umum yang menyeluruh, dengan pengalaman dalam khidmat masyarakat, kesenian dan projek-projek kelas, di mana kesemuanya terangkum dalam model pembelajaran UWC iaitu pendidikan melalui pengalaman. UWC mempercayai bahawa pelajar-pelajar muda ini mempunyai keupayaan yang sama untuk menghayati pendidikan berdasarkan pengalaman sebagaimana pelajar-pelajar IBDP kami, malah, kurikulum pembelajaran telah dibentuk supaya mereka mempunyai peluang untuk menyoal, menyelidiki, mencipta, melibatkan diri dan berfikir, serta mengembangkan kemahiran sosial, emosi dan kreativiti mereka.

UWC Maastricht menawarkan Kurikulum Rendah Antarabangsa dan Program Tahun Pertengahan International Baccalaureate (MYP) dalam tahun-tahun awalnya, yang meliputi Pra-Tadika, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Program-program lain yang ditawarkan kepada para pelajar meliputi Kurikulum Pendidikan Jasmani dan Kesihatan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan Garis Panduan Kurikulum yang istimewa digunakan untuk pelajar-pelajar di peringkat pra-tadika.

UWC South East Asia menerima pelajar-pelajar yang berusia dari 4 hingga 15 tahun ke dalam pendidikan peringkat awalnya. Di UWCSEA, program pembelajaran berdasarkan konsep K-12nya yang tersendiri ditawarkan kepada pelajar-pelajar di sekolah bayi (4-7 tahun), sekolah rendah (7-11 tahun) dan sekolah menengah (11-14 tahun). Dalam tahun akhir sekolah menengah, mereka menduduki kursus International GCSE (IGSE).

UWC Thailand menawarkan Program Tahun Rendah (PYP) kepada pelajar-pelajar yang berumur 3 hingga 12 tahun dan IB MYP ditawarkan kepada pelajar-pelajar berumur 11 hingga 15 tahun. UWC Thailand juga mempunyai Program Taman Asuhan Kanak-Kanak yang merupakan pembelajaran yang berdasarkan permainan untuk pelajar-pelajar muda yang berumur dari 18 bulan sehingga 3 tahun.

UWC Waterford Kamhlaba di Afrika Selatan mempunyai tiga program pendidikan termasuklah IBDP. Kurikulum Waterford dan IGCSE adalah merupakan program-program yang ditawarkan kepada para pelajar dalam tahun rendah, yang berumur dari 11 hingga 16 tahun.